KUALA LUMPUR: Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) menggesa kerajaan Persekutuan memberikan sokongan kepada negeri Terengganu yang menghadapi kekangan kewangan sehingga menjejaskan program kos sara hidup rakyat.
Beliau menyatakan inisiatif bayaran hospital untuk wad kelas tiga yang diperkenalkan sejak 2021 kini tidak dapat diteruskan akibat sekatan hak royalti negeri.
“Bagaimanapun program ini tidak dapat diteruskan seperti biasa dengan sebab kekangan kewangan apabila hak royalti disekat,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Hassan mencadangkan agar kerajaan negeri dilibatkan sebagai rakan strategik dalam melaksanakan inisiatif meringankan kos sara hidup.
Menurut beliau, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan boleh memastikan bantuan sampai ke akar umbi rakyat.
Beliau turut menyeru agar kementerian berkaitan memperuntukkan dana khusus untuk menyokong negeri-negeri yang kurang berkemampuan melaksanakan inisiatif tersebut.
“Saya harapkan dilibatkan juga kerajaan kerajaan negeri kerana mereka ada rakyat yang juga terpaksa mereka laksanakan program-program untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat di bawah tanggungan mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata, pelanggan KPDN seperti pengguna, peniaga, pertubuhan bukan kerajaan, dan agensi kerajaan perlu menyelaraskan usaha dengan kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 20/11/2024