KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan membangunkan Portal Terengganu Talent bagi mengumpulkan data mengenai bakat-bakat Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, portal khas tersebut bertujuan untuk membantu pencari kerja rakyat Terengganu mendaftar dan mengumpulkan data pencari kerja.
Menurutnya, portal itu juga akan menjadi platform bagi majikan di Terengganu terutama anak syarikat (GLC) Terengganu untuk mengiklankan jawatan kosong, memudahkan pencari kerja membuat permohonan, dan menyediakan pelaporan statistik pasaran buruh kepada kerajaan negeri.
“Objektif utama portal ini adalah bagi tujuan pengumpulan data maklumat dan data bakat modal insan di Terengganu.
“Portal ini juga menyediakan platform bagi majikan yang terdiri dari syarikat berkaitan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di Terengganu untuk mengiklankan jawatan kosong,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tambahnya lagi, selain itu ia memudahkan pencari kerja untuk mencari dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka.
Di samping itu juga, Ariffin berkata kewujudan portal berkenaan membolehkan kerajaan negeri membuat pelaporan statistik mengenai pasaran buruh yang merangkumi permintaan iaitu tawaran kerja kosong serta penawaran iaitu data pencari kerja.
Justeru itu, beliau berharap dengan adanya portal tersebut, semua bakat anak negeri Terengganu samada yang memiliki pendidikan tinggi atau rendah dan berkemahiran tinggi mahupun tidak mahir dapat dikumpul bagi tujuan membantu pengurusan bakat jangka panjang. – TRDI.my