BENTONG: Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia (PMPS) Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Pahang yang mencadangkan pengharaman penggunaan vape secara total di negeri ini.
Pengerusinya, Ustaz Roslan Md Esa berkata, cadangan itu merupakan langkah signifikan untuk memastikan kesejahteraan masyarakat Pahang dari aspek kesihatan, moral, dan sosial.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Taawun Pusat Pendidikan (MANTAP) negeri, menegaskan fenomena penggunaan vape yang semakin meluas, khususnya dalam kalangan golongan muda, membawa pelbagai kesan negatif yang perlu ditangani secara tegas.
Tambahnya, tiga sebab sokongan terhadap titah tersebut iaitu melindungi kesihatan awam, memperkukuh akhlak dan nilai murni serta mencegah gejala sosial.
Katanya, kajian saintifik membuktikan bahawa penggunaan vape berisiko menyebabkan komplikasi kesihatan seperti kerosakan paru-paru dan ketagihan nikotin.
“Melindungi kesihatan rakyat adalah tanggungjawab utama yang juga selaras dengan tuntutan agama,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, vape dilihat menyumbang kepada kemerosotan nilai moral, terutama dalam kalangan generasi muda.
Justeru, ujarnya PMPS dan MANTAP berpendirian bahawa pengharaman itu dapat membantu memupuk semula akhlak dan nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Menurutnya, penggunaan vape sering menjadi pintu masuk kepada ketagihan bahan terlarang lain.
“Langkah pengharaman ini dilihat sebagai benteng awal untuk melindungi anak muda daripada terjebak dalam gejala sosial yang lebih serius.
“Sebagai institusi pendidikan Islam, PMPS dan MANTAP menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat, dan agensi kerajaan untuk bersatu menyokong titah Sultan Pahang,” katanya.
Beliau yang pernah memberi cadangan sama pengharaman vape di Pahang di dalam satu kenyataan sebelum ini, turut menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera menggubal dasar dan undang-undang bagi menguatkuasakan pengharaman itu.
“Semoga cadangan Tuanku ini menjadi titik tolak untuk melahirkan masyarakat yang sihat, bermoral, dan bertakwa.
“Pahang perlu menjadi contoh kepada negeri lain dalam memperjuangkan nilai-nilai sejagat yang baik untuk semua,” ujar Roslan. – HARAKAHDAILY 20/11/2024