Sempena ulang tahun kedua Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), akhbar harian The Star menerbitkan kajian eksklusifnya berdasarkan semakan terhadap keputusan 38,000 saluran peti undi PRU15 dan 7,000 saluran PRN15. Beberapa kecenderungan pengundi dapat ia kesan dan berdasarkan dapatan itu ia membuat beberapa ramalan terhadap kemunginan senario PRU akan datang.
Ia meramalkan sekiranya gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) ini kekal menghadapi PRU ke 16, berkemungkinan gabungan itu akan mampu meraih kemanangan besar iaitu merampas 35 kerusi parlimen milik Perikatan Nasional (PN) menjadikan jumlah kerusi PH-BN 146 berbanding hanya 39 milik PN.
Analisis The Star menjangkakan jika ini berlaku PH-BN akan sapu bersih kesemua kerusi-kerusi parlimen PN di Sabah, Johor, Melaka, Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.
Namun syarat besar yang diletakkan adalah, pengundi PH dan pengundi BN mestilah keluar mengundi dan mengundi calon-calon PH-BN sahaja barulah formula undi cantum itu berlaku dan PH-BN akan menang besar.
Tetapi jika berlaku penolakan, atas sebab tiada keharmonian dalam hubungan atau masih curiga-mencurigai antara satu sama lain, ramalan ini tidak akan berlaku dan sebaliknya PN pula dijangka menambah kerusi.
“The biggest obstacle in this scenario is the reluctance of some Barisan supporters to vote for Pakatan despite the two coalitions being in a partnership that forms the background of the ruling Madani untiy government”.
The Star mendapati dalam PRN15 sekitar 71.3 hingga hampir 100 peratus penyokong BN terutama Umno telah mengundi calon-calon PN. Bermakna sentimen penolakan terhadap kerjasama dengan PH khasnya dengan kehadiran DAP yang dominan itu adalah “real”, sentimen penolakan itu telah tertunjam jauh ke dalam hati sanubari penyokong Umno terutamanya.
Hari ini pimpinan Umno mungkin mendakwa sentimen itu telah berjaya dipadam kerana Umno dah selesa dalam gabungan ini. Benarkah begitu?
Umno mungkin menang dalam PRK DUN Nenggiri di Kelantan, tetapi kerusi DUN ini memang kubu kuat Umno kecuali dalam PRN 15 apabila ia tewas. Jika undi cantum ini benar dan semuanya telah baik, calon PKR mewakili PH sepatutnya menang di PRK DUN Sg Bakap sebelumnya, kerana DUN ini pun memang kawasan kuat PKR (dengan kerusi Parlimen diwakili Menteri kabinet) dan terletak pula dalam negeri PH yang didominasi DAP, tetapi bagaimana PAS yang mewakili PN boleh menang besar?
Sesungguhnya formula undi cantum ini memang cantik di atas kertas, tetapi dari segi praktiknya, ia bukan mudah berlaku.
Realitinya ahli-ahli Umno masih teragak-agak walau duduk dalam gabungan bersama PH yang didominasi DAP. Mereka makin tidak selesa melihat berbagai isu melibatkan nasib dan kepentingan Melayu Islam tergugat dan diancam kebelakangan ini, tambahan dengan masalah ekonomi yang lebih merugikan golongan mereka. Mereka tawar hati apabila tiada pembelaan diberikan terhadap Dato Seri Najib Tun Razak, bekas Presiden mereka yang pernah banyak menabur jasa pada ahli-ahlinya. Mereka melihat hanya pimpinan di atas yang selesa dan mewah dengan jawatan Timbalan PM, Menteri dan Timbalan Menteri, sedangkan banyak berhalangan dalam mahu membela nasib mereka berbanding dahulu, kerana mereka bukan lagi dominan.
Justeru memang benarlah jika berlaku formula undi cantum ini, menang besarlah PH-BN, soalnya mampukah ia berlaku?
Dalam pada itu jentera PN perlu mempertingkatkan lagi kerja dan usaha mereka. Keluhan, nasib dan masa depan umat Melayu Islam khasnya mestilah dijuarai, kerana ramai penyokong Umno (termasuklah Melayu PH) hari ini mula makin cenderung pada PN lantaran ketokohan pimpinan PN itu sendiri. Pastikan 4 negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mampu dijadikan negeri contoh hasil kecermerlangan kepimpinan negeri yang bersih, berintegriti dan bertaqwa.
PN akan mampu mengagalkan formula undi cantum ini, dengan syarat politik penyatuan ummah terus menjadi teras perjuangannya.