KOTA BHARU: Perkataan ‘ketimbang’ yang dipopularkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Belanjawan 2025 dianggap sebagai kata serapan daripada Bahasa Jawa.
Pensyarah bidang sosiolinguistik sebuah universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob berkata, perkataan ketimbang dianggap jauh menyimpang dari prinsip dan hukum pola vokal dan prinsip morfologi.
Katanya, kekecualian hukum kerana penyesuaian berdasarkan bunyi untuk semua kata serapan atau pinjaman prasistem ejaan dan ejaan menggunakan kaedah sistem Keselarasan Vokal kecuali daripada bahasa Jawa.
“Perihal ketimbang sebagai kata sendi seerti daripada suatu kesilapan besar kerana kata sendi merupakan golongan kata tugas yang diklasfikasi morfem terikat berbeza kata terbitan ketimbang.
“Ketimbang terbit dari kata dasar timbang, iaitu morfem bebas yang berdiri sendiri dengan makna yang lengkap.
“Kata tugas pelbagai jenis iaitu kata hubung sama ada kata hubung gabungan, pancangan dan pasangan atau relatif dan komplemen,” katanya di sini.
Baru-baru ini Anwar ketika membentang Belanjawan 2025 menyebut perkataan ketimbang sehingga menjadi polemik awam.
Ekoran itu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid membangkitkan isu berkenaan di Dewan Rakyat dengan menyebut istilah ketimbang tiada dalam perbendaharaan kata Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Malah, DBP pada kenyataan menjelaskan perkataan ketimbang yang sering disebut Perdana Menteri akan dimasukkan dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua.
Menurut DBP, perkataan tersebut merupakan kata sendi nama yang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu.
Dr Zulkeflee juga berkata, kata tugas jenis kata sendi semua morfem terikat perlu morfem bebas untuk membentuk kata yang mempunyai makna lengkap.
“Kata dalam apa pun bahasa mempunyai proses penerbitan dalam disiplin morfologi sub bidang linguistik. Morfologi pembentukan kata Bahasa Melayu melalui proses imbuhan jenis awalan, apitan, akhiran dan sisipan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024