KUALA TERENGGANU: Projek pengasingan kolam air panas mengikut jantina di LA Hot Spring, Besut, dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pelaksanaan projek itu kini telah mencapai kemajuan fizikal melebihi 80 peratus.
“Status tindakan pihak kerajaan negeri bagi cadangan mengasingkan penggunaan kepada kaum lelaki dan wanita di LA Hot Spring, Besut kini berada di dalam tindakan pihak Majlis Daerah Besut.
“(Iaitu) melalui kelulusan projek pembinaan kolam air panas wanita pada 9 Oktober 2024 dan dijangka akan disiapkan pada tahun semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zuraida Md Noor (PAS-Ladang) pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Zuraida dalam soalan tambahan meminta kerajaan negeri menyatakan perancangan untuk terus meningkatkan jumlah pengunjung dan mempromosikan La Hot Spring.
Menurut Razali, Majlis Daerah Besut dalam usaha untuk mengembangkan promosi kepada pengusaha-pengusaha di Pulau Perhentian agar menyediakan pakej pelancongan termasuk La Hot Spring dan Agro Darau kepada pengunjung luar dan dalam negara.
Katanya, dari sudut promosi, satu aplikasi tempahan dalam talian sedang dibangunkan termasuk mempromosikan Daerah Besut dan kawasan La Hot Spring.
“Proses rundingan dengan beberapa syarikat masih terbuka untuk penambahbaikan bagi mempromosikan La Hot Spring.
“Majlis Daerah Besut dalam pertimbangan untuk membuat penambahbaikan liputan jaringan rangkaian telekomunikasi jalur lebar melalui beberapa siri perjumpaan bersama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
“(Pertemuan) yang telah dibuat sebelum ini namun tidak mendapat kata putus yang muktamad ekoran kos yang agak tinggi bagi pelaksanaan tersebut.
“Sekiranya capaian rangkaian internet ini dapat diluaskan di kawasan terbabit maka pihak majlis boleh mengembangkan lagi kebolehpasaran kawasan ini dengan sistem tempahan secara dalam talian,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024