Penganjuran TIS 2024 perkukuh kesatuan ummah

Terengganu International Summit

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu International Summit (TIS) 2024 dengan tema “Kesatuan Ummah kearah Kemampanan, Daya Tahan dan Kemakmuran Bersama” dijadualkan berlangsung pada 23 November ini di Duyong Convention Center, Duyong Marina dan Resort.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, program itu diadakan bertujuan membina rangkaian kerjasama global dalam kalangan tokoh-tokoh utama dunia Islam.

Beliau berkata, walaupun tema program itu menekankan kesatuan ummah, ia turut merangkumi objektif lain seperti pelaburan, pendidikan dan kebudayaan dengan matlamat memperkenalkan negeri Terengganu ke peringkat antarabangsa.

“Kita perlu mendekati mereka dengan cara berhemah. Sebagai contoh, apabila kita menziarahi rumah orang, kita mula dengan bersalaman dan bertanya khabar sebelum menyatakan hasrat kita.

“Begitu juga apabila kita memasarkan Terengganu, ia memerlukan pendekatan strategik,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Ustaz Ridzuan Hashim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Adram Musa.

Mengulas lanjut kata beliau, program anjuran bersama Yayasan Perdana, Yayasan Permata Ummah (YPU), Sekretariat SG4 dan Menteri Besar Incorporated (MBI) itu akan dihadiri oleh perwakilan dari lima negara.

“Insya-Allah akan dikunjungi oleh lima buah negara iaitu Oman, Rusia, Filipina, Turki dan Indonesia,” ujarnya.

Menurut Khalil, program yang diadakan buat kali kedua itu juga bertujuan memperkukuh solidariti umat Islam serta cadangan dan penyelesaian praktikal dalam memberdayakan ummah di peringkat global, khususnya di rantau Nusantara.

Ucaptama akan disampaikan oleh negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia dan Ahli Parlimen Marang merangkap penaung Yayasan Permata Ummah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Majlis perasmian pula akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – HARAKAHDAILY 20/11/2024