KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan perlu menyediakan kemudahan secukupnya kepada anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi sekatan jalan raya.
Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berkata, itu susulan kesukaran yang dihadapi oleh pemandu, terutamanya warga emas, dalam menunjukkan cukai jalan mereka semasa sekatan jalan raya.
“Sebab apa kadang-kadang yang bawa kenderaan itu orang tua dan nak tunjukkan dia punya road tax itu jadi masalah untuk dia,” ujarnya
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pengangkutan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, menjelaskan menurut SOP terkini, anggota JPJ dan polis tidak lagi perlu memeriksa cukai jalan secara fizikal semasa sekatan jalan raya.
Sebaliknya menurutnya, mereka menggunakan sistem elektronik pada gajet atau telefon bimbit yang membolehkan mereka menyemak status cukai jalan dengan memasukkan nombor plat kenderaan.
Hasnizan dalam soalan asalnya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah Kementerian bagi mengingatkan pemilik kenderaan agar tidak terlupa untuk memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) memandangkan sistem road tax digital tidak memerlukan pelekat cukai jalan dipamerkan. – HARAKAHDAILY 20/11/2024