KUALA LUMPUR: PASTI Malaysia mencatat sejarah apabila berjaya menganjurkan sesi hafazan Al-Quran terbesar di peringkat prasekolah dengan penyertaan seramai 121,180 murid dari seluruh negara, hari ini.
Acara julung kali yang berlangsung serentak dari pukul 10.00 pagi hingga 11.00 pagi itu mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records.
Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol menyifatkan program ini sebagai langkah penting dalam melahirkan generasi yang memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran.
“Bacaan para pelajar sangat merdu dan baik. Keseluruhan anak-anak PASTI dapat menguasai bacaan dan isi kandungan Al-Quran dalam silibus kita.
“Program pra-tahfiz yang dimulakan sejak 2014 telah menarik minat masyarakat, dan kami berharap anak-anak ini menjadi insan soleh dan solehah dengan bacaan yang sangat merdu,” katanya.
Penyertaan murid dari setiap negeri mencerminkan komitmen tinggi terhadap program ini.
Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 28,292 peserta, diikuti oleh Terengganu dengan 13,978 peserta dan Kelantan dengan 13,029 peserta.
Sabah, Sarawak, dan Perlis pula masing-masing mencatat jumlah penyertaan sebanyak 6,700, 1,408 dan 1,603 peserta.
Setiap negeri menghantar johan hafazan Alam Ria PASTI peringkat negeri bagi memimpin sesi hafazan ini.
Hafazan dimulakan dengan Nur Qhadeeja Rayhana Hisham mewakili Sarawak, Mutasim Billah Khalil Mohd Osman dari Sabah dan Ayra Farzana Suhaimi dari Perlis.
Wakil dari Perak ialah Muhammad Khalish Khairy Kamaruddin, sementara Maryam Assyifa’ Muhammad Fahmi mewakili Kedah dan Mohammad Fayyadh Mohd Ezwan dari Pulau Pinang.
Ahmad Hudzaifah Ahmad Riyadh dipilih mewakili Selangor, manakala Kelantan diwakili oleh Wafa A’qeela Abdul Wafi dan Terengganu oleh Abdullah Mukhlis Mohd Syafiq.
Wakil dari Pahang ialah ‘Arif Al-Fateh Mohd Zarimi, manakala Wilayah Persekutuan diwakili oleh Afra Naura Nurul Azri.
Wakil lain termasuk Armel Raudhah Mohd Hasnoribrahim dari Negeri Sembilan, Thoreq Kho’ill Mohd Faizal dari Melaka dan Ahmad Adam Wafiey Mohd Muzakkir dari Johor.
Program dimulakan pada pukul 8.00 pagi dengan laporan kehadiran guru kanan kepada guru bertugas di setiap negeri.
Selepas sesi rehat, murid-murid bersedia untuk menyertai acara melalui platform Zoom, Facebook PASTI, dan YouTube TV PASTI.
Tepat pukul 10.00 pagi, acara dimulakan dengan semua peserta membaca hafazan secara serentak.
Pelajar memulakan bacaan Surah Al-Fatihah, Surah An-Nas sehingga Surah Ad-Dhuha, serta Surah Al-Mulk ayat satu hingga 22.
Inisiatif ini membuktikan dedikasi PASTI Malaysia dalam mendidik generasi muda yang mencintai Al-Quran, selain mencetuskan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendidikan Islam di peringkat awal usia. – HARAKAHDAILY 20/11/2024