KUALA LUMPUR: Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), menegaskan bahawa ketidakcukupan peruntukan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam Belanjawan 2025 boleh menjejaskan usaha membanteras kartel dan monopoli.
Menurutnya, walaupun belanjawan menyatakan RM27 juta diperuntukkan untuk mengekang aktiviti kartel, hanya RM12 juta yang disenaraikan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Adakah baki peruntukan itu termasuk di bawah kementerian lain, dan bagaimana ia mencukupi untuk mencapai sasaran RM27 juta seperti diumumkan?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai sektor utama yang menjadi sasaran MyCC dalam usaha memerangi kartel, monopoli, dan pakatan harga.
Selain itu, beliau menekankan perlunya ketelusan dalam pelaksanaan kerjasama antara MyCC dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Kerjasama itu sebelum ini katanya diumumkan untuk menangani kartel dalam industri padi dan beras, namun pelaksanaannya masih kabur.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu menegaskan, kartel sering dilihat lebih berkuasa daripada kerajaan dan agensi penguatkuasaan.
Beliau mendesak agar langkah strategik diperkenalkan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap aktiviti kartel.
Selain itu, beliau mengingatkan kepentingan mewujudkan sinergi antara MyCC dan kementerian lain untuk menangani masalah monopoli. – HARAKAHDAILY 20/11/2024