SHAH ALAM: Pembangunan perumahan bertingkat di kawasan Bangi Lama dan Sungai Ramal Dalam menimbulkan kebimbangan terhadap kesannya kepada masyarakat setempat.
Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) berkata, meskipun projek pembangunan dikatakan mematuhi peraturan sedia ada, penduduk tetap berdepan pelbagai isu seperti banjir kilat dan gangguan kepada kehidupan harian.
“Kalau kita tanya kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berikan kemudahan merancang.. semuanya itu mengikut peraturan. Kalau tanya pula kepada pemaju yang bangunkan bangunan ini katanya juga.. semuanya ikut peraturan.
“Tapi kalau kita tanya kesakitan dan kesengsaraan (penduduk) ini seolah-olah.. semuanya tidak mengikut peraturan,” katanya dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2025 di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata, isu itu penting untuk menemukan titik keseimbangan antara keperluan pembangunan pesat dan keresahan masyarakat setempat.
Tambah beliau, pendekatan itu bagi memastikan rakyat yang tinggal di kawasan tersebut dapat menikmati kehidupan sejahtera tanpa diganggu oleh kesan negatif pembangunan.
“Apakah dasar, peraturan dan prosedur masih relevan pada hari ini kerana saya tidak boleh menafikan bahawa semuanya ikut peraturan, tetapi apakah ia masih sesuai sehingga ke hari ini?” soalnya.
Justeru katanya, keperluan untuk menyemak, menilai dan menambah baik peraturan ini perlu disuarakan bagi memastikan masalah seperti banjir kilat dapat dikawal dengan lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 20/11/2024