MAQIS sekat cubaan masuk buah tanpa CoC di LTSIP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), berjaya menahan seorang wanita warga Indonesia dari ‘bolos’ membawa masuk avokado dan jambu batu dari negara itu.

- Advertisement -

Wanita berusia 33 tahun dan merupakan pembantu rumah ditahan di pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) selepas didapati membawa avokado dan jambu batu dari negara itu tanpa dokumen sah serta Sijil Perakuan Pematuhan (CoC).

Ketua Pintu Masuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Mohd Ariwadi Mohd Salleh berkata, wanita  itu mendakwa majikannya mengidam buah berkenaan.

Menurut beliau, ketika kejadian Ahad minggu lepas, wanita itu baru pulang dari Indonesia dan pemeriksaan di dalam beg pakaiannya mendapati terdapat kira-kira 8 kilogram avokado dan jambu batu.

“Dua jenis buah itu antara yang dirampas ketika cubaan membawa masuk melalui pintu masuk LTSIP,” katanya melalui kenyataan media  hari ini.

Jelas beliau, rampasan itu dilakukan ketika pemeriksaan rutin dengan kerjasama bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tambahnya, tindakan itu bertujuan mengawal kemasukan komoditi pertanian yang berisiko termasuk kehadiran serangga perosak dan penyakit.

Mohd Ariwadi menjelaskan, jika terlepas ia boleh memberi kesan kepada industri pertanian dalam negara.

“Perbuatan mengimport produk pertanian tanpa CoC menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024