SHAH ALAM: Pembangkang memainkan peranan penting sebagai semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan yang bukan sahaja mengkritik, tetapi juga untuk memberi cadangan dan pandangan konstruktif dalam mana-mana perbincangan dan perbahasan.
Ustaz Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) berkata, kerajaan perlu menerima kritikan dengan hati yang terbuka kerana ia merupakan sebahagian daripada prinsip saling membantu dalam perkara baik.
“Jadi kalau pembangkang tiba-tiba tidak mengkritik dan nadanya sama seperti kerajaan.. itu bukan pembangkang dan kita akan hilang fungsi sebagai pembangkang.
“Kita bukan sekadar membangkang tetapi kita memegang prinsip seperti dalam surah al-Mai’dah ayat kedua yang bermaksud, “Bertolong-tolongan dalam perkara yang baik dan tidak bertolongan dalam perkara yang membawa kepada dosa dan keburukan”.
“Itulah prinsip kita sebab itu apabila kita membuat teguran dan kritikan.. di pihak kerajaan perlu terbuka menerima dan jangan kecil hati dengan kritikan itu.
“Saya memahami trend bahawa bila kita berbahas akan terus memberi kritikan dan pandangan,” katanya dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2025 di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Tambahnya, beliau sentiasa meneliti perbahasan di blok kerajaan yang sering dimulakan dengan pujian terhadap kerajaan walaupun isu itu sebenarnya tidak penting lagi di dalam sidang.
“Saya perhati rata-rata 15 minit lebih kurang bahawa tujuh minit pertama itu akan memuji kerajaan dan memberi segala kebaikan dan kebanyakannya salin dan tampal dalam ucapan Belanjawan Selangor 2025 oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Dikemukakan dan dikeluarkan sekali lagi sebagai mana Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) sebut semalam tentang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sebenarnya perkara itu sudah tidak lagi dijadikan berita.
“Sebab itu semalam bila YB Meru sebut KDNK, tidak ada siapa yang hendak tepuk tangan atau tepuk meja.. sehingga beliau minta talian hayat ‘tolonglah tepuk meja’ dan sayalah antara yang paling kuat sekali tepuk meja, sebab hendak tolong dia,” sindirnya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024