KUALA LUMPUR: Apakah langkah selanjutnya pihak kerajaan dalam menyelesaikan isu penyalahgunaan dadah masih berlaku dalam negara ini, tanya Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).
Beliau berkata, kerajaan telah banyak melaksanakan tangkapan demi tangkapan dalam menangani masalah tersebut.
“Namun begitu, isu penyalahgunaan dadah ini masih lagi tidak henti (never ending), terus berlaku.
“Adakah kerajaan berhasrat untuk menyesaikan masalah tersebut melalui mewujudkan kembali pasukan taktikal khas seperti Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING), Judi dan Gangsterisme (STAGG) bagi memerangi jenayah tersebut hingga ke akar umbinya?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menyatakan penyelesaian kepada jenayah itu memerlukan kerjasama daripada semua pihak memandangkan dadah adalah musuh nombor satu negara.
“Sebab itu kerjasama antara agensi dalam negara untuk membanteras isu ini sangat penting kerana ianya melibatkan pelbagai dimensi,” katanya.
Beliau menyatakan soalan berkaitan penubuhan kembali pasukan taktikal khas akan dijawab secara bertulis. – HARAKAHDAILY 20/11/2024