Himpunan Pendidik Haraki PAS Selangor jelas misi

- Advertisement -

HULU LANGAT: Seramai 110 individu daripada 22 kawasan berhimpun dalam Himpunan Pendidik Haraki PAS Negeri Selangor di Kompleks Tarbiah Darul Hidayah, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Himpunan terdiri daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Lajnah Pendidikan Kawasan-kawasan, Pentadbir Sekolah-sekolah di bawah kelolaan PAS dan ahli PAS seperti Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan PASTI.

Majlis dirasmikan Timbalan Pesuruhjaya  PAS Selangor, Ustaz Nushi Mahdfodz merangkap Ketua Sektor Tarbiyah dan Modal Insan PAS Negeri Selangor.

Antara objektif utama perhimpunan itu menerangkan struktur baharu Lajnah Pendidikan dan peranan Lajnah Pendidikan di peringkat negeri dan kawasan.

Himpunan turut menjelaskan misi, visi dan matlamat serta dasar-dasar Pendidikan PAS selain memberi panduan dalam pendidikan komuniti PAS.

Pembentangan kertas kerja terdiri daripada AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat yang teleh menyusun struktur organisasi baru Lajnah Pendidikan yang selepas ini akan dibentangkan lebih lanjut.

Himpunan ini akan disusuli Konvensyen Pendidikan PAS Malaysia di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) pada 21 Disember depan.

Antara tajuk kertas kerja falsafah, visi, misi, matlamat dan dasar-dasar Pendidikan PAS penjenamaan Pendidikan PAS yang dikenali dengan Kaffah Rabbani.

Rata-rata peserta yang hadir memberi komen positif mengenai himpunan berkenaan khususnya dalam bidang kuasa dalam oragnisasi PAS di peringkat kawasan.

Peserta turut memberi komen mengenai masa untuk program yang agak singkat menyebabkan pembentangan kertas kerja  sangat ringkas dan memerlukan huraian serta perbahasan lanjut.

Penganjur turut berharap setiap duta kawasan yang datang boleh membawa garapan yang dibentangkan agar Pendidikan PAS melebar ke serata tempat.

Pendidikan PAS yang berakar umbi dari PASTI sehinggalah ke peringkat universiti atau kolej ini berperanan dalam ta’lim, ta’dib dan tarbiyyah serta membawa masyarakat kepada ketakwaan kepada Allah. – HARAKAHDAILY 20/11/2024