Haram vape: Pemuda PAS Pahang zahir sokongan titah Sultan

Mohd. Zarimi Abu Zih
- Advertisement -

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap titah Tuanku Sultan Pahang yang mengharamkan penggunaan dan penjualan vape secara keseluruhan di negeri ini.

- Advertisement -

Ketuanya, Mohd. Zarimi Abu Zih berkata, titah baginda merupakan langkah tepat dan wajar dalam memastikan kesejahteraan rakyat khususnya generasi muda.

“Kami Pemuda PAS Pahang dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab menyatakan sokongan dan dukungan penuh terhadap titah Tuanku Sultan Pahang mengharamkan penggunaan dan penjualan vape secara keseluruhan di Negeri Pahang.

“Kami amat menghargai keprihatinan baginda Tuanku Sultan terhadap ancaman kesihatan yang berpunca daripada penggunaan Vape,” katanya melalui hantaran di laman Facebook Dewan Pemuda PAS Pahang, semalam.

Katanya, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 43 peratus remaja di Malaysia telah mencuba vape di mana 15.8 peratus pengguna aktif adalah bawah umur 18 tahun.

Tambahnya, statistik itu menunjukkan bahawa ancaman ini sedang merosakkan generasi muda, yang merupakan aset penting negara. 

Lebih membimbangkan lagi katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan melalui Kerajaan Madani yang mengeluarkan nikotin cecair vape daripada Akta Racun telah membuka ruang kepada lebih ramai anak muda terjebak dalam gejala ini.

Justeru, katanya Pemuda PAS menyeru kerajaan negeri melalui Exco Kesihatan dan Exco Belia untuk melakukan tindakan segera dan beberapa langkah wajar dan perlu diambil.

“Antaranya, kempen kesedaran dan pendidikan kesihatan yang memberi maklumat menyeluruh mengenai bahaya vape kepada kesihatan fizikal dan mental.

“Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang dengan memastikan pengharaman vape dilaksanakan dengan tegas melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasa,” ujarnya. 

Tambah beliau, pihaknya mencadangkan kerajaan negeri menyediakan program pembangunan belia yang membentuk anak muda lebih berdaya saing tanpa terjebak dalam budaya hedonisme.

Katanya, menurut data yang ditunjukkan, peningkatan dalam kes ketagihan nikotin melalui vape menyebabkan risiko 40 peratus lebih tinggi untuk beralih kepada rokok tembakau dan ini akan menambah beban kos rawatan kesihatan negara.

Sebagai pemimpin jelasnya, generasi muda perlu diacu dengan acuan nilai yang kukuh, bukan membiarkan mereka terjerumus dalam gaya hidup yang memudaratkan. 

“Kami Pemuda PAS Pahang sekali lagi menegaskan sokongan kami terhadap titah Tuanku Sultan dan menyeru semua pihak untuk turut menjunjung titah ini.

“Bersama, kita memastikan Pahang menjadi negeri bebas vape dan menjadi contoh kepada seluruh negara,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/11/2024