KUALA LUMPUR: Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Imran Sulaiman mengecam sekeras-kerasnya pertunjukkan konsert ‘Warner Music Fest’ yang jelas menormalisasikan hedonisme, budaya hiburan yang melampau dalam kalangan mahasiswa.
Menurut beliau, Warner Music Group (WMG), salah satu syarikat rakaman terbesar di dunia yang telah menyatakan sokongan terbuka mereka kepada Israel.
Katannya, perkara ini dapat dibuktikan apabila pada 13 Oktober 2023, WMG secara rasmi memuat naik kenyataan di media sosial yang menyokong Israel dan mengecam serangan HAMAS.
“Mahasiswa mula dilalaikan dengan konsert yang sedang dianjurkan oleh syarikat ini iaitu ‘Warner Music Fest’, yang menyasarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebagai lokasi konsert mereka.
“Antara IPTA yang terpilih dan berjaya melangsungkan konsert mereka adalah seperti di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM).
“Dan baru-baru ini di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 11 November 2024′,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial _Facebook_ GAMIS.
Imran turut menegaskan bahawa ini adalah isu yang amat besar umpama racun bagi mahasiswa kerana ia bukan sahaja memburukkan imej IPTA sebagai sebuah pusat intelektual, malahan merosakkan minda dan akhlak mahasiswa sebagai aset utama masyarakat. – HARAKAHDAILY 20/11/2024