KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara diminta melibatkan ahli parlimen (MP) pembangkang bagi memupuk perpaduan masyarakat menerusi inisiatif ‘friends of unity’.
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata beliau juga mempunyai tanggungjawab menyemai semangat itu dalam masyarakat di kawasannya yang mempunyai kira-kira 40 peratus golongan bukan Melayu.
“Adakah pihak kementerian ada mekanisma formal untuk mengundang kami ini dalam mesyuarat atau perbincangan dasar berkaitan dengan perpaduan dan dalam semangkat keterangkuman ini?
“Adakah kementerian bersedia menerima cadangan kami untuk memperluaskan lagi keberkesanan program ini sebab macam saya di Kapar ada 320,000 penduduk, 40 peratus bukan Melayu?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami dalam jawapannya berkata inisiatif ‘friends of unity’ hanya membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) yang neutral.
Malah kata beliau lagi, pihaknya juga tidak membabitkan wakil rakyat pembangkang dan NGO yang mempromosi perpaduan tanpa sebarang kepentingan politik pembangkang dalam masyarakat.
Bagaimanapun katanya, kementerian telah menubuhkan Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang dianggotai ahli termasuk exco perpaduan dari negeri-negeri diperintah pembangkang. – HARAKAHDAILY 20/11/2024