DAP dikecam mainkan isu zakat sebagai alat politik

- Advertisement -

SHAH ALAM: Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Mohamed Sukri Omar, menegaskan bahawa DAP tidak sepatutnya mempermainkan isu zakat sebagai alat politik.

Peringatan tersebut dibuat susulan kenyataan oleh pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang mempersoalkan ‘kemiskinan’ DAPSY, seolah-olah mereka layak menerima zakat.

Mohamed Sukri menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak berasas dan hanya mengundang kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata, DAP tidak seharusnya mempersoalkan zakat kerana ia adalah salah satu daripada lima Rukun Islam yang sangat dihormati dan dipandang tinggi dalam masyarakat Islam.

“Zakat disyariatkan khusus untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan, seperti golongan fakir, miskin, dan mereka yang memenuhi syarat-syarat penerima zakat seperti ditetapkan dalam syariat Islam.

“Penggunaan dana zakat tertakluk kepada hukum syarak dan disalurkan melalui institusi zakat untuk memastikan ianya sampai kepada asnaf yang memerlukan, termasuk dalam aspek pendidikan, kesihatan, dan keperluan asas,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Sukri menyatakan bahawa zakat adalah satu kewajipan agama yang tidak boleh dijadikan bahan politik.

Menurutnya, menjadikan isu zakat sebagai bahan sindiran atau alat politik adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau juga mengingatkan DAP agar lebih peka terhadap sensitiviti agama, dan menyeru kepada mana-mana pihak agar lebih peka terhadap sensitiviti agama dalam membuat kenyataan awam.

Sementara itu, Mohamed Sukri turut mengingatkan bahawa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama seharusnya menghormati serta tidak menggunakan sentimen agama untuk tujuan politik atau mengundang salah faham dalam kalangan rakyat.

Beliau juga berpendapat bahawa adalah penting untuk memahami keperluan serta sensitiviti setiap agama.

“PAS sentiasa terbuka untuk berdialog dan berbincang dalam memastikan setiap pihak memahami peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian masyarakat, namun kenyataan seperti ini hanya menimbulkan kekeliruan dan perpecahan,” tegasnya.

Beliau menuntut agar pihak DAP khususnya Nga Kor Ming menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada umat Islam.

“Kami berharap agar tindakan ini tidak diulang kerana ia hanya akan mencemarkan semangat keharmonian dan saling hormat yang kita bina bersama,” katanya.

Mohamed Sukri turut menyeru agar semua pihak menjaga adab dalam mengeluarkan kenyataan awam, demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 20/11/2024

- Advertisement -