KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail menyeru para asatizah di negara ini supaya segera bertindak mempertahankan kesucian Islam daripada ancaman fahaman liberal yang semakin menular.
Beliau menegaskan bahawa ancaman tersebut jika tidak ditangani, boleh membawa kepada krisis moral dan peradaban yang merosakkan identiti masyarakat Melayu-Islam.
Ahli Parlimen Jasin itu turut mengaitkan situasi itu dengan pengalaman Jepun pasca perang, di mana pembinaan semula ekonomi berdasarkan kapitalisme telah menyebabkan krisis etika.
“Orientasi ketamakan membuat keuntungan bukan sahaja menjadikan generasi baru Jepun kehancuran moral bahkan berlakunya penghancuran alam sekitar dan perosakan ekosistem melalui penghapusan hutan-hutan asal untuk tujuan industri pertanian komersial berskala besar.
“Perlulah disedari bahawa Jepun menghadapi krisis kekosongan moral tersebut bermula di dalam pengurusan ekonomi, namun kemudiannya akibat tidak bertindak terhadap krisis ini, menurut Prof Umehara Takeshi, ia telah merebak menjadi krisis peradaban Jepun.
“Iaitu ia telah melahirkan masyarakat Jepun yang tidak lagi memiliki kesedaran moral yang tinggi dan tidak lagi berpaksikan kepada ajaran agama dan falsafah Jepun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan bahawa situasi serupa boleh berlaku di negara ini apabila ahli politik Melayu yang berfahaman liberal mengenepikan agama dalam pentadbiran dan menyusun polisi dan menormalisasikan budaya mengabaikan Tuhan.
Menurutnya, golongan asatizah kini berhadapan cabaran besar kerana segelintir daripada mereka lebih mementingkan populariti, kemasyhuran, dan keselesaan hidup.
“Generasi asatizah yang lahiriahnya dari sudut ilmu dan penampilan seperti generasi Rabbani yang bertanggungjawab telah mendidik ummat di masa lampau, namun ruh, jiwa dan tindakannya adalah sangat jauh berbeza.
“Mereka lebih kelihatan seumpama anak-anak kecil yang leka dan seronok dengan alat permainan dan terbuai dengan khayalan, mudah melupakan prinsip-prinsip ilmu yang telah diajarkan hanya dengan sedikit cabaran dan terlupa terhadap peringatan-peringatan Al-Quran,” tambahnya lagi.
Beliau turut mengimbau ketegasan ulama silam seperti Sheikh Abdul Samad Al-Falembani dan Tuan Guru Sulong Cemara yang komited mempertahankan agama dan nilai moral umat Islam.
“Para ulama silam yang hanya kerana melihat sikap membelakangkan kesucian agama seperti melewatkan solat sahaja telah bertindak memutuskan hubungan persahabatan atau sebagaimana ketegasan para ulama di Brunei pada zaman kontemporari ini.
“Ketegasan ulama-ulama inilah yang telah membina dan menyelamatkan bangsa Melayu sekali gus melindungi agama merentas zaman,” katanya.
Tuan Guru Zulkifli berharap agar generasi asatizah masa kini dapat kembali kepada prinsip perjuangan sebenar ulama terdahulu.
Beliau menyeru mereka untuk menjadi benteng mempertahankan akidah dan menjadi kuasa semak imbang terhadap dasar-dasar kerajaan yang bertentangan dengan Islam.
“Para asatizah perlu bertindak pantas dan tegas dalam menghadapi isu ini agar ia tidak merebak menjadi krisis peradaban bangsa Melayu Islam di negara ini.
“Semoga Allah jauhkan umat Islam dalam negara ini dari krisis peradaban tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024
Asatizah diseru pertahan Islam dari ancaman liberal
- Advertisement -