KUALA LUMPUR: Dr. Siti Mastura Muhammad [PN-Kepala Batas] pada persidangan Dewan Rakyat, semalam meminta Menteri Komunikasi menyatakan apakah undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan oleh kementerian kepada syarikat-syarikat penyedia platform media sosial.
Ini, ujar beliau khususnya berkenaan tindakan memadam kandungan dan menyekat akaun yang berkaitan dengan suara pembangkang dalam pelbagai isu semasa.
Menteri Komunikasi menerusi jawapan bertulis berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan dengan berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan juga tertakluk kepada undang-undang lain sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak.
Katanya, setiap tindakan yang dijalankan, sebagai contoh penurunan kandungan, adalah berbentuk permohonan kepada penyedia perkhidmatan berdasarkan aduan dan permohonan daripada agensi penguatkuasaan yang lain.
Begitu juga, ujarnya dengan tindakan penguatkuasaan di mana pihak MCMC menjalankan siasatan terhadap mana-mana kes yang diadukan oleh orang awam namun keputusan bagi pendakwaan adalah tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
“Dengan mengambil kira peningkatan kes kemudaratan dalam talian yang berlaku pada masa ini, MCMC telah mengambil langkah proaktif mewartakan peraturan pada 1 Ogos 2024, bahawa perkhidmatan media sosial dan pesanan internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 sebelum 1 Januari 2025,” katanya.
Tambahnya, inisiatif itu diambil adalah untuk memastikan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh khususnya dalam memerangi peningkatan aktiviti kemudaratan dalam talian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Dalam hal ini, penyedia perkhidmatan juga perlu memainkan peranan yang penting dan bertanggungjawab dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat serta pengalaman lebih baik untuk pengguna terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.
“Ingin ditegaskan bahawa tindakan pelesenan perkhidmatan ini bukanlah satu bentuk sekatan terhadap hak kebebasan bersuara oleh mana-mana pihak yang sememangnya telah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Hal ini, ujarnya kerana setiap keputusan atau arahan oleh pihak MCMC terhadap penyedia perkhidmatan yang berlesen adalah masih tertakluk di bawah undang-undang berkaitan serta perlu mematuhi prosedur undang-undang yang telah ditetapkan.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang terkesan dengan keputusan atau arahan oleh MCMC, pihak tersebut boleh mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta 588 dan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi.
“Pihak yang terkesan selanjutnya boleh merujuk kepada semakan kehakiman terhadap keputusan dan arahan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024