KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di Seksyen A yang melibatkan Perairan Malaysia dalam lingkungan 24 batu nautika sehingga 24 November (Ahad) ini.
MetMalaysia berkata, angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. Amaran kenaikan paras laut dijangka berlaku di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan.
“Keadaan ini berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” kata MetMalaysia menerusi satu kenyataan di media sosial, hari ini.
MetMalaysia turut mengeluarkan kenyataan dalam Seksyen B yang melibatkan perkapalan.
“Angin kencang timur berkelajuan 40-50 kilometer sejam (km/j) kategori pertama dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan di kawasan perairan selatan Samui, Tioman, utara Bunguran dan tenggara Reef North.
“(Juga) utara Reef South, Layang-Layang, Palawan dan Perairan Sulu dalam tempoh Sabtu, 23 November 2024 sehingga Selasa, 26 November 2024.
“Manakala angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kilometer sejam (km/j) kategori kedua dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North sehingga Selasa, 26 November 2024.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” maklum kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, MetMalaysia menyatakan amaran hujan berterusan dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan atau ribut petir yang dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – HARAKAHDAILY 20/11/2024