KUALA TERENGGANU: Isu air cetek ditambah dengan kekurangan infrastruktur di pelabuhan dan jeti-jeti perikanan menjadi antara faktor yang merencatkan perkembangan industri perikanan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, banyak bot nelayan laut dalam C dan C2 yang berdaftar di Terengganu tetapi terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain.
“Ekoran kerana isu ini, antaranya mereka berpindah pangkalan ke Pelabuhan Tok Bali atau Kompleks LKIM Kuantan walaupun mereka masih menangkap ikan di perairan Terengganu.
“Isu asas ini perlu diselesaikan untuk kita menggamit kepulangan kembali bot-bot Terengganu supaya mendaratkan hasil tangkapan di negeri sendiri,” ujarnya pada persidangan DUN di sini, hari ini.
Katanya, Pelabuhan LKIM Chendering (PLC) dan Kompleks LKIM Pulau Kambing tidak terkecuali menerima tempias daripada situasi itu.
Tambahnya, Kompleks LKIM Pulau Kambing merupakan antara kompleks yang aktif dan mencatatkan rekod pendaratan tertinggi di Terengganu.
“Bukan hanya jeti pendaratan, di sini juga ada Pasar Nelayan, Pusat Pembekalan Air Batu, Pusat Jualan Minyak Diesel dan Pusat Pengistiharan Pendaratan Ikan.
“Walaupun keadaan kawasan agak sesak kerana kiri dan kanan Kompleks ini turut menempatkan beberapa agensi kerajaan lain, tetapi projek naik taraf dan peningkatan infrastruktur perlu diteruskan secara berkala,” ujarnya lagi.
Menurutnya, LKIM diperuntukan sebanyak RM2.188 juta pada 2022 dan projek naik taraf serta peningkatan infra telah siap sepenuhnya pada Oktober 2024.
Beliau menjelaskan, PLC yang mula beroperasi pada 1983 dan melalui zaman kegemilangannya pada tahun 90-an kini mulai suram.
“Antara isu utamanya ialah mendapan pasir dan kedaifan infra menyebabkan satu-satunya pelabuhan perikanan di negeri Terengganu ini bukan lagi pilihan utama sebagai tempat berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.
“Dengan usaha dari kerajaan negeri bersama LKIM, bermula dari Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu Tahun 2021. Antara resolusi bengkel ini ialah, PLC wajib dinaik taraf, diperkasakan dan dipulihkan semula” ujarnya.
Menurut beliau, setelah siap cadangan skop kerja, permohonan peruntukan telah diangkat oleh kerajaan negeri ke EPU Jabatan Perdana Menteri.
Beliau menambah, setelah melalui pelbagai proses yang agak panjang dan rumit, akhirnya pada 27 Februari 2023 Kementerian Ekonomi telah meluluskan RM192 juta untuk Projek Pembangunan dan Pemerkasaan PLC.
“Penghargaan dan terima kasih kepada Team UPEN Terengganu diketuai Dato’ Ahmad Faisal, PSU Portfolio Shahrir Hamid, PP Pertanian UPEN Zharif Ahmad dan semua team yang telah bekerja keras dalam melaksanakan misi sukar ini,” ujarnya.
Katanya, bagi melaksanakan projek itu, dua Jabatan Teknikal (SO Projek) dilantik. JPS untuk kerja-kerja di kawasan air dan JKR untuk kawasan daratan.
Beliau berkata, JKR telah selesai kerja-kerja pengukuran topografi dan pemetaan utiliti.
Tambahnya, manakala kerja-kerja ukur hidrografi dan ukur topografi JPS telah bermula pada 1 Oktober 2024 sehingga Januari 2025.
Katanya, projek terdiri dari 2 fasa di mana fasa pertama kerja-kerja di daratan oleh JKR dan fasa kedua kerja-kerja dalam air oleh JPS.
“Kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada, pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak,” jelas beliau.
Katanya, projek fasa satu dijadualkan siap pada Oktober 2028 sementara fasa 2 dijadualkan siap Ogos 2031.
“Dengan siapnya kerja-kerja ini, insya-Allah kita akan dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan PLC,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/11/2024