KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,579 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Terengganu sejak 2006 hingga 2024, melibatkan kos melebihi RM18 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, kajian mendapati kepadatan ikan di tukun negeri itu mencapai 70.5 peratus tertinggi berbanding negeri jiran.
Menurut beliau, kepadatan ikan yang tinggi di perairan Terengganu adalah rahmat bagi nelayan tapi dalam masa yang sama mengundang pencerobohan sama ada dari nelayan asing atau negeri jiran.
“Langkah yang diambil untuk mengatasi masalah ancaman dari nelayan asing, kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“(Juga) Pasukan Polis Marin (PPM) untuk mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negeri seluas 87,000 kilometer (km) persegi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, semalam.
Ahmad Shah meminta Kerajaan Negeri Terengganu menjelaskan langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi ancaman nelayan asing yang menjejaskan hasil tangkapan.
Azman berkata, pemasangan sistem Mobile Tracking Unit (MTU) diwajibkan bagi nelayan Zon C dan C2 untuk membantu pengesanan kapal dan membezakan vesel tempatan daripada kapal asing.
“Kerajaan negeri turut melancarkan kempen kesedaran kepada nelayan tempatan agar melaporkan pencerobohan dengan pantas kepada pihak berkuasa bagi mengekalkan keselamatan perairan,” ujarnya.
Beliau berkata, pogram pembangunan tukun tiruan juga bukan hanya dijadikan rumah ikan dalam masa yang sama ia bertindak sebagai penampang bagi penghalang pukat tunda.
“Pada tahun 2023 Sultan Mizan telah berkenan merasmikan Projek Garisan Sempadan Tukun di Pesisir Pantai Terengganu sepanjang 245 km dengan sasaran mewujudkan satu kelompok tukun.
“(Iaitu) dalam jarak setiap 1 km bagi setiap kelompok yang sedang dibina di sepanjang sempadan kawasan penangkapan ikan Zon A (5 batu nautika).
“Objektifnya bukan sahaja meningkatkan sumber ikan, malah ia juga bertujuan mengelak pencerobohan zon nelayan pantai oleh bot pukat tunda nelayan asing dan nelayan tempatan,” katanya.
Jelas beliau, mengikut Akta Perikanan 1985, penceroboh yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 bagi awak-awak atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Vesel rampasan boleh dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia. Setakat ini semua kes membabitkan nelayan asing yang dibicarakan di mahkamah telah disabitkan kesalahan dan dihukum.
“Tak ada yang bayar denda. Mereka lebih memilih penjara. Manakala vesel rampasan yang telah dilucut hak sebahagian besarnya ditenggelamkan sebagai tukun tiruan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024