Tebing sungai Kg Kuala Sedim hampir siap dibaiki

- Advertisement -

BALING: Kerja-kerja membaiki tebing sungai di Kampung Kuala Sedim berjalan lancar dan hampir siap, demikian maklum Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Mejar (B) Mansor Zakaria.

- Advertisement -

Menurut beliau, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan perkembangan kerja-kerja pembaikan tebing tersebut.

“Saya dimaklumkan pada penghujung tahun ini, kerja-kerja pembaikan tebing itu akan siap sepenuhnya,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Jelasnya lagi, kerosakan tebing sungai itu juga telah mengakibatkan jalan mini tar di kampung itu juga turut terkesan dan rosak.

“Jalan itu merupakan satu-satunya laluan utama penduduk Kampung Kuala Sedim. Apabila tebing sungai itu terhakis, menyebabkan air sungai melimpah ke jalan terutama ketika hujan lebat dan mengakibatkan jalan itu rosak,” ujar ADUN Kuala Ketil itu lagi.

Mengulas lanjut kata Mansor, semua urusan pembaikan tersebut dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah melalui peruntukan bencana yang diluluskan jabatan tersebut sebelum ini.

“Sebelum ini kerja-kerja pengukuhan tebing telah dijalankan tetapi terpaksa ditangguh kerana berlaku peningkatan paras air sungai akibat peralihan monsun,” jelasnya lagi.

Terdahulu, beliau dan beberapa jawatankuasa Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kuala Ketil turun meninjau perkembangan kerja-kerja pembaikan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Mansor juga turut meninjau kerja-kerja baik pulih jambatan di Kampung Titi Kenanga yang dijangka siap sepenuhnya pada April tahun hadapan.

Termasuk tandop di Kampung Tembak yang sedang dibaik pulih kerana pecah akibat banjir baru-baru ini.- HARAKAHDAILY 19/11/2024

- Advertisement -