KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diminta menyatakan hasrat untuk menambah lagi rakan strategik Rakan Muda selain Grab, Foodpanda, Shopee dan Lazada.
Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata, pihaknya dimaklumkan insentif tersebut ditawarkan bagi menarik minat belia menyertai 10 program kesukarelawan remaja itu.
“Bagaimana status terkini kajian 10 insentif di bawah Rakan Muda itu, selain daripada Grab, Foodpanda, Shopee, Lazada ada tak kerajaan bercadang untuk tambahkan rakan strategik yang ada sekarang.
“Kemudian Menteri KBS ada mengumumkan berkaitan dengan direktori untuk fasiliti dan juga tempat-tempat sukan inilah, jadi dia telah siap dan mungkin boleh dikongsi dengan ahli parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengutarakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Adam yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah menjelaskan KBS masih dalam kajian bagi menambah insentif bagi menarik minat golongan terbabit berbanding menawarkan pengiktirafan kaedah lama.
Beliau berkata, kerajaan menyedari trend semasa dengan perkembangan teknologi sekarang memungkinkan pihaknya untuk menawarkan ganjaran yang lebih baik selain sesuai penggunaan gajet.
“Kita nampak bahawa model terdahulu termasuk pengiktirafan dalam bentuk sijil dan sebagainya tidak semestinya menjadi sesuatu yang dikejar oleh anak muda pada ketika ini.
“Sebaliknya mereka mahukan insentif dalam bentuk yang boleh dimanfaatkan, sebab itu kita lihat model yang digunapakai baru-baru ini seperti kupon, kredit dari platform ini mendapat sambutan,” katanya.
Mengenai direktori katanya KBS sudah melancarkannya bagi memudahkan persatuan sukan dan orang ramai mengetahui fasiliti sukan melalui laman sesawang, www.kbs.gov.my/home-fasiliti.html. – HARAKAHDAILY 19/11/2024