KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyuarakan kekesalannya terhadap perkembangan Persidangan Dewan Rakyat yang disifatkannya agak sunyi daripada jawapan di pihak kerajaan.
Menurut beliau, sekalipun ada jawapan daripada Perdana Menteri atau Menteri-menteri mengikut portfolio dipertanggungjawabkan kepada mereka terhadap soalan atau pertanyaan dibangkitkan, tetapi ia tidak memuaskan.
Penolong Setiausaha Agung PAS itu menegaskan, sedangkan Parlimen adalah medan untuk sekalian wakil rakyat berbahas dan bertanya di mana setiap perbahasan dan pertanyaan adalah mewakili suara hati rakyat.
“Dengan tatanan, ditanya ke mana hilangnya beras tempatan? Tiada jawapan! Dengan ketimbang, ditanya apakah definisi T15 atau maha kaya? Tiada jawapan!
“Dengan ketimbang, ditanya kenaikan harga barang dirasai B40 dan M40? Tiada jawapan! Dengan taakul, ditanya penggunaan IC (kad pengenalan) di stesen minyak? Tiada jawapan!
“Dengan kebinekaan, ditanya pelaburan MAHB-BlackRock? Tiada jawapan! Tanpa purbasangka, ditanya wujudkah titah addendum? Tiada jawapan!
“Walhasil, tiada jawapan untuk setiap persoalan dan tiwikrama di Dewan yang mulia,” luahnya dalam media sosial miliknya sempena Ulang Tahun Kedua Parlimen di bawah pemerintahan Pakatan Harapan-Barisan Nasional, hari ini.
Menurut beliau, kendatipun Perdana Menteri tiada sebulan, Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Jemaah Menteri hendaklah – bertanggung jawab – secara kolektif kepada Parlimen.
“Soalan, adakah (wakil) rakyat berhak untuk wujud di Parlimen? Ya Soalan, adakah (wakil) rakyat berhak untuk mendapatkan jawapan di Parlimen? Ya! Intiha,” sinisnya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024