KUALA TERENGGANU: ADUN Ladang, Zuraida Md Noor mencadangkan agar Kerajaan Negeri Terengganu meluaskan prospek pengambilan pemandu wanita di setiap agensi kerajaan.
Menurutnya, langkah itu bertujuan menjaga kebajikan dan keselesaan penjawat awam wanita dalam menjalankan tugas rasmi.
“Saya pernah mengutarakan isu pemandu wanita pada tahun pertama saya dilantik sebagai ADUN Wanita. Alhamdulillah pada tahun 2020, kita telah mengambil seorang pemandu wanita melalui unit tubuh Urus Setia Wanita Terengganu.
“Cetusan dari ini telah membuka mata banyak pihak dan mendapat respon yang sangat baik daripada pegawai-pegawai wanita kerajaan
yang memandang positif perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau berkata, cadangan itu dibangkitkan sekali lagi selepas mendengar dan mengambil berat pandangan pegawai wanita yang menyuarakan rasa kurang selesa apabila perlu bermusafir berdua dengan pemandu lelaki.
“Kadangkala pegawai wanita terpaksa melakukan perjalanan jauh demi tugasan seperti mesyuarat, program rasmi dan sebagainya. Penyediaan penjawatan pemandu wanita ini turut memberikan satu nafas baharu kepada kakitangan penjawat awam.
“Khususnya wanita untuk menggunakan kenderaan kerajaan atas urusan rasmi terutamanya ketika kakitangan wanita perlu keluar kawasan seorang diri.
“Dengan adanya pemandu wanita, ia dapat menjamin keselesaan agar lebih memelihara keadaan dan meraikan fitrah wanita, sebagai pekerja, ibu dan juga muslimah,” katanya.
Tegas Zuraida, pengambilan pemandu wanita juga harus selari dengan aspek keselamatan dan kebajikan mereka.
“Contohnya, menyediakan tempat yang mesra wanita di depoh kenderaan serta menyediakan jadual waktu fleksibel bergantung kepada arahan ketua jabatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024