SHAH ALAM: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) membangkitkan isu pekerja dalam sektor ekonomi gig khususnya e-hailing dan p-hailing terutamanya dalam kalangan golongan B40 dan tidak mempunyai kelayakan akademik tertinggi.
Ahmad Yunus berkata, kekangan ini mempengaruhi sasaran Malaysia untuk meningkatkan peratusan pekerja berkemahiran tinggi kepada 35 peratus menjelang 2030.
“Saya sendiri mempunyai pengalaman berdepan dengan mereka (pekerja gig) yang tidak melanjutkan pelajaran hatta sebelum atau selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana kerjaya ini mudah untuk mendapatkan pendapatan terutamanya kepada kumpulan B40.
“Sebahagian besar mereka ini juga adalah telah kehilangan pekerjaan malah ada yang mempunyai ijazah dan mereka terlibat untuk mendapatkan pendapatan kepada keluarga.
“Apakah inisiatif yang mungkin boleh dibuat oleh kerajaan negeri bagi memperkasakan lagi e-hailing sebagai pendapatan kepada anak-anak muda yang tidak ada pilihan lain?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu, berkata, beliau menyambut baik cadangan dan pandangan daripada ADUN Sijangkang.
“Saya harap rakyat kita dapat memanfaatkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui platform Estidesi dan Uniselian, serta membuka ruang kepada mereka yang ingin masuk dalam program ini,” katanya.
Dalam soalan asal, beliau minta Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu, menyatakan prestasi program BikeCare-1000 Negeri Selangor.
Serta sejauh manakah Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) benar-benar menjadi pemangkin kerjaya jangka panjang anak-anak muda Selangor. – HARAKAHDAILY 19/11/2024