KOTA BHARU: Penduduk Dabong yang terlibat dalam sektor pelancongan kini mampu menjana pendapatan agak lumayan kerana kawasan berkenaan sering dikunjungi pelancong termasuk dari luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, Train To Dabong yang mula diperkenalkan beberapa tahun lalu menjadikan Dabong begitu popular pada hujung minggu dan cuti sekolah.
Kata beliau, hasilnya masyarakat Dabong mampu menjana pendapatan dengan berkhidmat sebagai pemandu pelancong, pemandu kenderaan darat dan sungai, pengusaha kedai makan, pengusaha kraf dan rumah tumpangan.
“Begitu juga peranan malim gunung bagi memenuhi hasrat pelancong yang gemar meneroka daerah itu sebagai eko pelancongan lestari dan jelajah warisan.
“Antara kawasan pelancongan menarik iaitu Gua Ikan dan Lata Kertas yang memberi pulangan kepada penduduk tempatan,” katanya selepas Program HOS Komuniti Setempat (HKS) Dabong di sini semalam.
Kursus Program Latihan Hos Komuniti Setempat (HKS) diadakan untuk melatih dan melesenkan jaguh komuniti setempat yang mampu menjadi pemangkin pembangunan pelancongan di Dabong.
Seramai 25 peserta mengikuti kursus berkenaan selama empat bulan bermula Ogos lalu melibatkan empat modul latihan, iaitu pemetaan eset budaya, aktiviti interpretasi, keusahawanan hos komuniti setempat dan khidmat pelanggan.
Kursus berkenaan diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, MOTAC dan Majlis Daerah Dabong.
Kamarudin juga berkata, melalui kursus tersebut kawasan pelancongan seperti jejak warisan, galeri warisan tempatan, mi udang serta lain-lain produk dapat dipertingkatkan.
“Kursus ini memberi kelebihan ilmu kepada pengusaha terlibat supaya dapat mempertingkatkan lagi mutu kerja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024