PAS sokong titah Sultan Pahang haramkan vape

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyokong penuh titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengharamkan vape sepenuhnya bagi melindungi kesihatan rakyat dan memacu transformasi ekonomi negara. 

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu menunjukkan keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan rakyat, terutama dalam melindungi generasi muda daripada pengaruh vape. 

“Larangan ini boleh diiringi dengan pembangunan industri alternatif seperti terapi gantian nikotin yang lebih selamat. Langkah ini membuka ruang pelaburan baharu dan mencipta pekerjaan untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau turut mencadangkan agar insentif seperti potongan cukai kesihatan diberikan kepada mereka yang berjaya meninggalkan tabiat merokok atau menggunakan vape, dan pendidikan awam juga perlu digerakkan secara meluas untuk menyokong usaha itu. 

Jelasnya, insentif itu bukan sahaja menggalakkan perubahan tingkah laku, tetapi turut mengurangkan beban kos perubatan jangka panjang.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, bagi membantu peniaga vape yang terkesan, mereka boleh dilatih semula untuk menceburi bidang seperti teknologi hijau atau perniagaan digital.

Langkah itu katanya, bukan sahaja memberi mereka peluang baharu tetapi juga memacu sektor ekonomi yang lebih lestari.

“Zon bebas vape di kawasan awam seperti sekolah, hospital, kedai makan dan taman rekreasi boleh diperkenalkan sebagai langkah peralihan.

“Pada masa yang sama, zon ini berfungsi mendidik masyarakat tentang bahaya vape secara berterusan, terutama kepada golongan remaja yang paling terkesan dengan trend ini,” katanya. 

Menurutnya, pada masa sama, cukai tinggi terhadap produk vape boleh diperkenalkan sebagai langkah sementara sebelum larangan penuh dikuatkuasakan. 

“Dana yang dikumpul boleh disalurkan kepada sektor kesihatan dan program pencegahan ketagihan, khususnya dalam kalangan belia,” ujarnya lagi. 

Selain itu katanya, industri vape juga boleh dipandu untuk menghasilkan teknologi kesihatan atau produk mesra alam.

Transformasi itu jelasnya, menjadikan larangan vape bukan sekadar pengakhiran, tetapi titik permulaan kepada ekonomi yang lebih inovatif.

Selain itu menurutnya, tabung khas yang dibiayai hasil cukai vape sebelum larangan penuh boleh dilaburkan untuk penyelidikan dan pendidikan kesihatan generasi muda.

Langkah itu menurutnya, bagi memastikan kesan jangka panjang terhadap pembangunan kesihatan masyarakat, sekali gus melindungi generasi akan datang.

Tuan Ibrahim percaya gabungan langkah-langkah itu bukan sahaja melindungi kesihatan awam, tetapi juga membuka jalan kepada transformasi ekonomi yang inklusif dan mampan.

“Titah ini adalah peluang besar untuk mencorak masa depan yang lebih sihat dan berdaya maju, sejajar dengan aspirasi kesejahteraan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024

- Advertisement -
- Advertisement -