Majlis Peguam: 12 calon nafi dakwaan tidak berasas

Pemilihan

Calon nombor 3 Pemilihan Majlis Peguam 2025/2026, Al Sabri Ahmad Kabri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 calon bagi Pemilihan Majlis Peguam 2025/2026 tampil membuat penafian terhadap dakwaan berunsur fitnah yang dikatakan mencetuskan perpecahan dalam kalangan calon. 

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata terdapat usaha pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan senarai palsu yang mengklasifikasikan calon sebagai ‘Star Group’ dan ‘Ultra Malays Group’. 

Antara terlibat iaitu calon nombor 3, Al Sabri Ahmad Kabri menegaskan, bahawa semua mereka 12 calon yang didakwa itu sama sekali tidak terlibat dalam penciptaan atau penyebaran senarai tersebut. 

Mereka turut menafikan sebarang kaitan dengan entiti bernama ‘Badan Bertindak Profesional Muslim Malaysia’ yang didakwa menyebarkan maklumat mengelirukan itu. 

Kenyataan itu menegaskan komitmen 12 calon itu terhadap prinsip keadilan dan profesionalisme dalam setiap tindakan mereka. 

Mereka menyeru pengundi supaya membuat pilihan berdasarkan merit, integriti dan keupayaan setiap calon, bukan bergantung kepada propaganda atau retorik perkauman. 

Menurut mereka, senarai palsu itu hanya bertujuan memanipulasi pemilihan, sekali gus melemahkan integriti institusi Majlis Peguam. 

“Setiap daripada kami bertanding secara bebas, bukan di bawah mana-mana panji-panji seperti yang didakwa,” menurut kenyataan itu untuk siaran akhbar.

Antara calon lain ialah Dato’ Azmi Mohd Ali (5), Dato’ Fariz Mustafa (15), Deidra Nur Azmi (12), Dato’ Dr Kamilia Ibrahim (18), Azlisham Jaffar (26), Murshidah Mustafa (29), Norhayati Mohamed (30), Rosnah Zakaria @ Kak Rose (35), Sam Masri (36), Dato’ Yasmeen Shariff (40), dan Zainal Abidin Shaik Zakaria (42).

Mereka menggesa ahli Majlis Peguam untuk terus menilai calon berdasarkan merit, idealisme, pandangan, perspektif, serta keupayaan setiap calon demi memastikan keberkesanan kepimpinan badan itu pada masa depan. – HARAKAHDAILY 19/11/2024

- Advertisement -