KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia (KM) mengarahkan semua negeri yang terjejas akibat hujan berterusan untuk segera mengaktifkan bilik gerakan bagi memantau situasi dan mengambil tindakan proaktif.
Ketua Pengarahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, arahan itu susulan amaran hujan berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dijangka berlaku sehingga 23 November 2024.
Menurutnya, amaran kategori buruk melibatkan kawasan Pahang seperti Kuantan, Pekan, dan Rompin, serta Johor membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, dan Kota Tinggi.
Sementara itu katanya, kategori waspada dikeluarkan bagi Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, dan Pasir Puteh); Terengganu; Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, dan Bera) hingga 23 November.
“Amaran hujan berterusan turut melibatkan Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Jempol, dan Tampin); Melaka; Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, dan Johor Bahru) sehingga 20 November 2024,” katanya memetik kenyataan MetMalaysia.
Khairul Faizi berkata, arahan pengaktifan bilik gerakan negeri itu bertujuan memastikan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang risiko banjir.
Beliau berkata, Khidmat Malaysia turut menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau kejadian yang tidak diingini.
Dalam pada itu katanya, bagi melancarkan usaha bantuan, orang ramai diminta menyumbang melalui akaun Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank: 5623 8454 2866* atau *Bank Islam: 12225010037517.
Sumbangan juga boleh salurkan di link: https://infaqpay.my/go/khidmatmalaysia
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui hotline Khidmat Malaysia di 011-14174789 atau Ketua Bilik Gerakan, Ashrul Hisyam Abdul Jalil, di talian 019-9538531. – HARAKAHDAILY 19/11/2024
Khidmat Malaysia aktifkan bilik gerakan negeri
Hadapi situasi hujan berterusan
- Advertisement -