KUALA LUMPUR: Sistem autogate dan pengurusan kaunter imigresen di pintu masuk utama negara menjadi fokus perbahasan Dewan Rakyat hari ini, apabila Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) membangkitkan keberkesanan serta elemen keselamatan sistem tersebut.
Beliau menyatakan bahawa sistem autogate digunakan oleh 63 negara berisiko rendah dan menekankan perlunya langkah untuk menjamin keselamatan di Malaysia selain menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan operasi kaunter manual di KLIA dan Johor pada waktu puncak.
“Jadi apa tindakan daripada pihak kementerian untuk mengarah ke ataupun memastikan atau pastikan bahawa pegawai imigresen ni menggunakan ya kena buka dalam masa-masa kesesakan berlaku ni kena buka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail dalam jawapannya menegaskan bahawa sistem autogate tidak menjejaskan keselamatan kerana data penumpang tetap direkodkan sepenuhnya, sejajar dengan amalan global.
Menurutnya, isu kaunter manual yang tidak beroperasi pada waktu puncak berpunca daripada pertukaran syif atau alasan peribadi, namun langkah seperti penyesuaian jadual syif telah diambil untuk mengelakkan gangguan.
Beliau berkata, tempoh pelepasan biasanya di bawah 25 minit, tetapi insiden tertentu, seperti ketibaan pesawat besar, boleh menyebabkan kelewatan sehingga 49 minit.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah inisiatif dan langkah-langkah yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kementerian bagi menangani kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan KLIA. – HARAKAHDAILY 19/11/2024