Kenapa saling bercanggah kenyataan pihak berkuasa?

- Advertisement -

TELUK INTAN: PAS Perak menyatakan rasa kesal terhadap penganjuran perarakan Sambutan Guan Gong Sedunia yang berlangsung di sekitar Menara Condong, di sini bulan lalu.

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria turut menzahirkan kekecewaannya terhadap kenyataan bercanggah daripada pihak berkuasa mengenai acara tersebut.

“Kita rasa kesal kerana terdapat dua kenyataan yang berbeza daripada pihak keselamatan dan mungkin ia berlaku kesilapan penyelarasan maklumat.

“Pada mulanya dikatakan bahawa himpunan itu tidak mempunyai permit, kemudian dikata pula mempunyai permit tapi melanggar syarat, dan kemudian mengatakan pula yang mengibarkan bendera itu bukan rakyat tempatan.

“Jadi banyak kekeliruan.. kita tidak mahu berlaku seperti mana yang dikatakan apabila ada yang menghina agama kita (Islam) kemudian, keluar pula ‘dia’ dari wad dan mengatakan ‘dia’ gila,” katanya.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, Teluk Intan bukan sekadar lokasi perarakan, tetapi kawasan yang mempunyai sejarah tersendiri dalam konteks perpaduan dan sensitiviti kaum.

“Semangat patriotik yang ditunjukkan oleh rakyat hari ini untuk menyatakan bahawa kami tetap perlu mempertahankan negara ini, kalau tidak siapa lagi kan..?” katanya.

Beliau juga turut menzahirkan kebimbangan terhadap semangat perpaduan yang semakin rapuh di Perak, manakala Kelantan dan Kedah menunjukkan contoh terbaik bagaimana integrasi antara kaum boleh dijayakan.

“Orang Cina di Kelantan boleh cakap dalam dialek Kelantan dan begitu juga orang Cina di Kedah dan sebagainya, tapi lain pula yang berlaku di Perak.

“Selain itu, Teluk Intan bukanlah majoriti daripada kaum Tionghoa seperti mana di Pulau Pinang, Ipoh Timur dan Batu Gajah. Kita pun hairan kenapa mereka memilih Teluk Intan dan Batu Pahat.

“Dua tempat ini yang kita rasa amat terkejut sehingga menimbulkan persoalan mengapa lokasi ini dipilih,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Perak turut menekankan mesej Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa penyatuan umat adalah keutamaan, khususnya dalam mengekalkan keharmonian dalam negara majoriti Islam.

“Tiada cara lain untuk umat Malaysia melainkan kembali ke trek yang betul. Kita mesti bersatu dan memastikan tiada mana-mana minoriti menguasai negara majoriti Islam ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa akan lebih berhati-hati dalam meluluskan acara seperti ini pada masa akan datang untuk mengelakkan ketegangan dan memastikan perpaduan antara kaum di negara ini terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 19/11/2024