Himpun satu tan sampah gotong-royong di Pendang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak satu tan sampah berjaya dikumpulkan melibatkan 500 tenaga sukarelawan pada Gotong-Royong Perdana Peringkat Daerah Pendang yang diadakan, kelmarin.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria, merakamkan tahniah kepada Majlis Daerah Pendang atas penganjuran itu.

Kata beliau, seperti yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Tempatan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengadakan gotong-royong sekurang-kurangnya sekali dalam setiap bulan.

“Alhamdulillah, kali ini tiba giliran Pendang. Gotong-royong ini bemula di Mini Stadium, Pendang. Alhamdulilah, kehadiran amat memberangsangkan,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Program gotong-royong itu juga berjaya menghimpun tenaga sukarelawan dari pelbagai agensi termasuk dari pihak sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain

“Ini satu perkembangan baik, walaupun program ini diadakan pada hari bekerja (Ahad) tetapi mendapat sambutan yang luar biasa,” tambah beliau.

Antara lain-lain lokasi yang menjadi sasaran pada program tersebut, termasuklah kawasan riadah, perniagaan dan tempat kunjungan orang ramai untuk aktiviti waktu petang dan sebagainya.

“Tempat-tempat riadah serta lokasi rekreasi seperti Tasik Pendang itu antara yang menjadi pilihan untuk mengadakan program-program besar terutama menjelang Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

“Oleh itu amat wajar kebersihannya dijaga untuk menarik perhatian pengunjung ke Pendang ini,” katanya lagi yang turut hadir bersama pada program itu. – HARAKAHDAILY 19/11/2024