KUALA TERENGGANU: Pemberian bonus kepada kira-kira 14,000 penjawat awam di Terengganu akan diumumkan sekiranya kerajaan negeri telah menerima peruntukan mencukupi daripada Kementerian Kewangan (MOF).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau enggan memberi janji terhadap sesuatu yang belum mendapat kepastian.
“Dalam keadaan sekarang, kita nak umumkan dari segi angka dan jumlah itu, kita kena mohon dahulu (dari MOF). Setelah dapatkan pengesahan bahawa ia (peruntukan) akan diberi barulah kita laksanakan.
“Jadi kalau kita umum dahulu (bonus) namun tak dapat pengesahan lagi, bermakna kita umum benda yang tak adalah….sebab itu kita nak umum benda yang ada (setelah peruntukan diluluskan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Beliau berkata, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan segala pengumuman dibuat dengan kepastian penuh, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan.
“Surat telah dihantar kepada MOF beberapa bulan lalu untuk dapat kelulusan. Sudah dapat kelulusan barulah kita umumkan (bonus). Insya-Allah…(bonus) ada. Kita akan umum kemudian setelah dapat kelulusan,” ujarnya.
Beliau berkata, jumlah bonus yang akan disalurkan kepada penjawat awam di Terengganu juga bergantung kepada keputusan yang bakal dibuat oleh MOF. – HARAKAHDAILY 19/11/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!