KUALA LUMPUR: Adakah benar kenyataan seorang aktivis Orang Asli bahawa Orang Asli tidak dirujuk sewajarnya dalam projek penanaman semula oleh syarikat Pahang Orang Asli Corporation (ORACO)?
Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkata ARACO diwujudkan sebagai satu syarikat yang merupakan milik penuh kerajaan negeri.
Kata beliau, syarikat tersebut merupakan ‘one stop center’ bagi merancang, mengurus dan membangunkan tanah yang berpotensi meningkatkan sosio ekonomi orang asli itu sendiri.
“Tetapi terdapat kenyataan daripada seorang aktivis yang terdiri daripada Orang Asli yang menyatakan bahawa Orang-orang Asli tidak dirujuk sebelum ORACO mengambil alih projek-projek penanaman semula di SK?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, projek tersebut sebelum ini diuruskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Tambah beliau, timbulnya satu persoalan iaitu sama ada penubuhan syarikat ORACO mula merumitkan permohonan pemilikan tanah oleh orang-orang Asli itu sendiri.
“Apakah kewujudan ini sedikit sebanyak merumitkan permohonan pemilikan tanah dan sekali gus akan menggugat hak keistimewaan Orang Asli sebagai orang pertama dalam tanah tersebut?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pentingnya diperincikan lagi kewujudan ORACO jika benar ianya membawa banyak manfaat kepada Orang Asli negeri tersebut.
Kata beliau lagi, perkara tersebut perlu dilakukan bukan sahaja oleh pihak ORACO tetapi juga Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). – HARAKAHDAILY 19/11/2024