Banjir: Tangani masalah tanaman, ternakan dan kolam akuakultur

Wan Hassan Mohd Ramli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa prihatin dan memandang serius terhadap masalah pengusaha kecil di Pantai Timur, khususnya Negeri Terengganu yang terkesan akibat risiko bencana.

- Advertisement -

Menterinya berkata, KPKM telah mengenal pasti langkah-langkah bagi menangani masalah kawasan tanaman, ladang ternakan dan kolam akuakultur yang sering terjejas akibat banjir seperti membangunkan peta risiko banjir jangka panjang bagi kawasan pertanian berdasarkan unjuran perubahan iklim melalui kerjasama antara Institut Penyelidikan & Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM).

“Maklumat ini boleh dimanfaatkan oleh petani atau pengusaha untuk membuat penjadualan aktiviti pertanian dan menyusun strategi terbaik bagi mengurangkan risiko kerugian,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wan Hassan Mohd Ramli [PN-Dungun] di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hassan dalam soalannya meminta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makan menyatakan langkah bagi menangani masalah kawasan tanaman, ladang ternakan, dan kolam akuakultur yang sering terjejas akibat banjir yang dihadapi pengusaha-pengusaha kecil di kawasan yang banyak menyumbang kepada keterjaminan makanan negara di Pantai Timur, khususnya Negeri Terengganu.

Tambah menteri lagi, antara Langkah itu menyalurkan bantuan secara tunai dan in-kind (barangan) kepada petani yang menghadapi kerugian akibat bencana alam seperti banjir untuk meneruskan aktiviti pertanian.

Katanya, pada tahun 2024, KPKM telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta melalui Tabung Bencana Pertanian dan RM12 juta melalui Tabung Bencana Tanaman Padi dan mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan pengeluaran pertanian yang dapat beradaptasi dengan perubahan iklim.

“Contohnya, penyelidikan oleh MARDI untuk menghasilkan varieti padi tahan banjir yang dijangka siap pada tahun 2028.

“Varieti ini diharap dapat memberi penyelesaian bagi kawasan pertanian padi yang sering terjejas akibat banjir, sekali gus memastikan kelangsungan pengeluaran padi,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024