Apa status terkini tubuh Bahagian Undang-Undang Tentera

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkara-perkara yang melibatkan isu perundangan di Kementerian Pertahanan adalah di bawah tanggungjawab Bahagian Undang-Undang Kementerian yang terdiri daripada pegawai perundangan daripada Jabatan Peguam Negara yang berfungsi sebagai penasihat dan pakar rujuk bagi semua perkara yang melibatkan perundangan.

- Advertisement -

Menteri Pertahanan berkata, di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Perundangan Angkatan Tentera Malaysia (PPATM) di bawah Markas ATM bertanggungjawab sebagai penasihat dan pakar rujuk bagi semua perkara yang melibatkan perundangan angkatan tentera.

Katanya, selaras dengan keperluan Kertas Putih Pertahanan, melalui kerangka ATM untuk menjadi sebuah Angkatan Masa Hadapan (AMH), PPATM ini akan dinaiktaraf menjadi Cawangan Perundangan ATM yang diketuai oleh seorang Pengarah Perundangan berpangkat Kolonel setaraf.

“Cawangan Perundangan ini akan diletakkan di bawah Bahagian Provos dan Perundangan yang diterajui oleh Ketua Provos Marsyal (KPM) berpangkat Brigedier Jeneral setaraf,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Mumtaz Md Nawi [PN-Tumpat] di Dewan Rakyat, hari ini.

Mumtaz dalam soalannya meminta Menteri Pertahanan menyatakan status terkini perancangan untuk penubuhan Bahagian Undang-Undang Tentera selaras dengan kepentingan dan perkembangan fungsi bahagian itu sendiri, seperti mempunyai identiti bahagian sekaligus boleh ditugaskan secara khusus untuk mendepani isu terkini dan kehendak perundangan semasa yang semakin kompleks.

 Menurut menteri itu lagi, Cawangan Perundangan ATM akan menjalankan fungsi dan peranan dalam memberi khidmat nasihat perundangan kepada kepimpinan ATM berhubung semua dasar dan arahan yang melibatkan ATM termasuk pentadbiran disiplin, perundangan tentera dan perundangan operasi serta perkara-perkara lain yang berkaitan.

“Penambahbaikan ini diyakini mampu mendepani segala isu terkini serta keperluan perundangan di peringkat semua cabang Perkhidmatan ATM dan Kementerian Pertahanan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024