‘Andainya rasuah telah membudaya, perlu dicantas segera’

Norsah Bongsu
- Advertisement -

TAWAU: “Andainya benar amalan rasuah ini telah membudaya, maka ianya perlulah dicantas segera,” kata Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu.

- Advertisement -

Menurutnya, berapa hari ini tular mengenai skandal rasuah yang melibatkan ADUN Sabah.

“Sama ada benar ataupun tidak dakwaan tersebut, biarlah pihak yang berautoriti yang menentukannya.

“Apabila membaca artikel dan mendengar audio yang tersebar, terlintas di fikiran saya, gaya perbualan ini juga dikatakan ada berlaku dalam kalangan penjawat kerajaan di bawah.

“Ini telah menjadi rahsia umum yang berlegar dalam masyarakat tetapi tidak disertakan dengan bukti sahih,” ujarnya kepada Harakahdaily, di sini, hari ini.

Tambahnya, jika di peringkat bawah, bahasa habuan politik dan negosiasi projek seperti ini wujud, maka tidak hairan jika ianya juga wujud di peringkat yang lebih tinggi.

Beliau menyokong penuh kenyataa Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dan seharusnya dijadikan muhasabah kepada semua peringkat pentadbiran kerajaan.

Dalam kenyataan Khamis lepas, Dr Aliakbar berkata, rasuah merupakan satu malapetaka besar kepada manusia yang boleh menyebabkan kerosakan dan menjadi barah yang sangat berbahaya kepada sistem pentadbiran.

Tambahnya, Islam mendidik para penganutnya bahawa harta haram itu bukan sahaja berdosa kepada semua yang digunakan olehnya, sehinggakan menjadi umpan neraka yang membakar dirinya.

Norsah turut bersetuju dengan kenyataan tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor agar pemberi dan penerima rasuah perlu segera disiasat.

“Saya berharap akan datang, individu-individu yang didapati bersalah seharusnya tidak ada lagi dalam senarai pentadbiran kerajaan negeri.

“Orang ramai juga perlu turut sama bertindak dalam usaha melenyapkan budaya rasuah. Kita semua perlu sedar, ianya seperti anai-anai yang merosakkan suatu binaan secara perlahan-lahan.

“Dan yakinlah, tiada sesiapapun yang terlepas daripada perhitungan Allah di akhirat kelak,” ujar Norsah lagi. – HARAKAHDAILY 19/11/2024