KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Peguam Malaysia, Al Sabri Ahmad Kabri menyeru ahli-ahli badan itu menunaikan hak mereka mereka pada Pemilihan Majlis Peguam yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Memandangkan tarikh akhir bagi undian pos untuk Pemilihan Majlis Peguam semakin hampir, kami semua berharap tahun ini sekurang-kurangnya 60 peratus ahli Majlis Peguam Malaysia mengundi.
“Majlis Peguam Malaysia mempunyai lebih daripada 23,000 ahli, namun setiap tahun hanya sekitar 5,000 ahli yang mengundi. Ini adalah keadaan yang tidak sihat.
“Kami merasakan sudah tiba masanya para peguam menggunakan hak mereka sebagai ahli untuk mengundi dan memilih individu yang mereka fikir layak memimpin persatuan ini,” ujarnya yang juga merupakan calon nombor 3.
Menurut beliau, Majlis Peguam juga membenarkan ahlinya mendapatkan kertas undi gantian sekiranya kertas undi hilang semasa penghantaran atau tersalah letak.
Selain itu, beliau juga menyuarakan bahawa sudah tiba masanya Majlis Peguam Malaysia memperkenalkan undian secara dalam talian berbanding sistem undian pos yang ketinggalan zaman.
“Silakan mengundi demi profesion ini. Negara memerlukan sebuah Majlis Peguam yang kuat, berpendirian tegas tanpa gentar atau berat sebelah.
“Dan yang paling penting, ahli memerlukan kebajikan serta hak mereka dijaga dan dijamin oleh pihak yang berwibawa. Undilah untuk diri anda dan profesion anda,” kata Al Sabri. HARAKAHDAILY 19/11/2024