ADUN bantu warga emas uzur dapatkan katil baru

- Advertisement -

PADANG SERAI: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali bersyukur kerana hasratnya untuk membantu seorang warga emas yang sakit tercapai.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, katil yang saya pesan untuk seorang warga emas yang sakit telah selamat sampai dan beliau gembira menggunakannya,” ujarnya yang juga ADUN Merbau Pulas.

Jelas beliau, kunjungannya ke rumah Baharuddin Hamid, 76, di Kampung Terat Batu, di sini sebelum ini, mendapati katil yang digunakan olehnya tidak sesuai dan kurang selesa.

“Pak Cik ini sakit, tak boleh bangun, jadi perlulah kepada peralatan yang lebih baik dan sesuai agar ia lebih selesa.

“Lagipun Kerajaan Negeri ada peruntukan untuk membantu kepada mereka yang sakit, lebih-lebih lagi dari golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Ujar Ashah, beliau juga dimaklumkan, Pak Cik Baharuddin kini sejak menggunakan katil baharu, nampak sedikit sihat dan mahu bercakap dengan anak-anaknya.

“Mungkin keselesaan dan rehat yang lebih baik memberi kesan positif pada keadaan beliau,” tambah beliau.

Dalam pada itu beliau juga berharap kepada mana-mana keluarga yang ibu atau ayah mereka sakit, agar memberi perhatian sebaiknya.

Katanya, selain kemudahan peralatan yang selesa, pemakanan sesuai, ibu bapa terlantar sakit juga memerlukan belaian anak-anak.

“Belaian dan perhatian dari anak-anak itu ibarat terapi yang mampu memberi kesan positif kepada ibu bapa yang sedang sakit.

“Mereka sudah banyak berkorban untuk kita, dan kini adalah masa untuk mereka merasa dihargai dan diberi perhatian.

“Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada Pak Cik Baharuddin dan semua warga emas di luar sana,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/11/2024