6 menara komunikasi di Parlimen Pasir Puteh siap dibina

Nik Muhammad Zawawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan menggunakan pelbagai teknologi bagi mengatasi masalah jaringan internet.

- Advertisement -

Menurut Menteri Komunikasi, ini adalah bagi membolehkan rakyat menikmati akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih menyeluruh di kawasan luar bandar termasuk Parlimen Pasir Puteh.

Katanya, sehingga 31 Ogos 2024, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Parlimen Pasir Puteh adalah termasuk enam buah menara komunikasi baharu yang telah siap dibina.

Tambahnya, kesemua 151 stesen pemancar juga telah siap dinaik taraf dan sebanyak 3,465 premis daripada 3,949 yang dirancang telah tersedia dengan capaian gentian optik.

“Baki inisiatif ini akan siap secara berperingkat pada suku keempat tahun 2025,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh [PN-Pasir Puteh] di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Muhammad Zawawi dalam soalannya meminta Menteri Komunikasi menyatakan langkah-langkah segera pihak kementerian bagi memastikan masalah jaringan internet di kawasan luar bandar khususnya dalam Parlimen Pasir Puteh dapat diatasi dan apakah status projek JENDELA di Parlimen Pasir Puteh.

Tambah menteri itu, antara langkah dan inisiatif yang sedang dipertimbangkan dan diteliti oleh MCMC bagi meningkatkan akses kepada jalur lebar adalah melalui rancangan JENDELA Fasa 2.

Katanya, perancangan JENDELA Fasa 2 ini memerlukan penilaian dan pertimbangan kaedah pemberian perkhidmatan yang sesuai (fit-for-purpose) serta keupayaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat untuk membiayai perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi projek ini.

“MCMC mengambil maklum bahawa terdapat beberapa lokasi yang bermasalah dari segi liputan dan kualiti perkhidmatan di Parlimen Pasir Puteh,” ujarnya.

Oleh yang demikian, katanya aduan orang ramai adalah amat diperlukan bagi membantu pemberi perkhidmatan dan MCMC dalam menyegerakan tindakan bagi menangani isu jaringan internet yang dihadapi. – HARAKAHDAILY 19/11/2024