Zuhdi kritik ketiadaan model Ekonomi Madani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki, menyifatkan Bajet 2025 sebagai gagal menyerlahkan model Ekonomi Madani yang dijanjikan kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Beliau berkata, bajet tahunan kerajaan PH-BN masih dipengaruhi oleh model ekonomi terdahulu yang dikenali sebagai ‘Najibnomics’, hasil dasar ekonomi yang dirangka semasa era mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

- Advertisement -

“Setelah tiga kali bajet tahunan dibentang oleh kerajaan campuran PH-BN, saya masih tercari-cari model Ekonomi Madani yang dicanangkan. Malangnya, model tersebut bukan sahaja tidak terserlah dalam Bajet 2025, bahkan model itu sendiri belum tuntas,” katanya dalam ulasan menerusi media sosialnya.

Menurut Mohd Zuhdi, ‘Najibnomics’ mula mencorak pembangunan negara sejak 2011 semasa Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan terus mempengaruhi dasar kerajaan meskipun empat Perdana Menteri memerintah selepas PRU-14.

Katanya, model itu memberikan kebebasan ekonomi sambil memperkenalkan langkah seperti pemansuhan akta drakonian seperti ISA dan pelaksanaan Akta Perhimpunan Aman.

“Model ekonomi ini bermula dengan mewujudkan kebebasan, bukan sahaja kebebasan di dalam kegiatan ekonomi tetapi dalam mewujudkan kuasa semak dan imbang terhadap kerajaan,” katanya sambil menambah bahawa langkah itu merupakan perubahan penting walaupun akhirnya memberi kesan kepada Najib sendiri,”

Beliau menjelaskan bahawa ‘Najibnomics’ turut merangkumi pelan transformasi menyeluruh yang memberi tumpuan kepada bidang seperti memerangi rasuah, mengurangkan jenayah, meningkatkan mutu pendidikan dan membangunkan prasarana luar bandar.

“Semua bidang ini berkaitan dengan masalah-masalah yang dihadapi secara langsung oleh rakyat,” jelasnya.

Selain itu, Mohd Zuhdi berkata model itu memperkenalkan 12 bidang ekonomi tumpuan termasuk peruncitan, pelancongan, minyak dan gas (O&G), elektronik dan perkhidmatan kewangan.

Katanya, program seperti BR1M, KR1M, PR1MA, dan projek infrastruktur seperti MRT, ECRL, dan Lebuh Raya Pan-Borneo adalah manifestasi pelaksanaan ‘Najibnomics’ yang dirasai langsung oleh rakyat.

“Kalaupun ada perubahan pada pelaksanaan program, sebahagian besarnya melibatkan penjenamaan semula, contohnya BR1M dijenamakan semula menjadi STR,” tambahnya.

Beliau turut menyentuh pendekatan rasionalisasi subsidi yang diperkenalkan semasa era Najib tetapi kini dilaksanakan lebih tegas oleh kerajaan Madani.

“Salah satu pendekatan model ekonomi Najibnomics yang begitu ketara diikuti oleh kerajaan hari ini ialah rasionalisasi subsidi atau subsidi bersasar,” katanya.

Mohd Zuhdi menyatakan bahawa pendekatan itu dipelopori oleh golongan dan institusi neo-liberal seperti IMF dan World Bank, tetapi Najib tidak mengadaptasinya sepenuhnya.

“Model ekonomi Najibnomics tidak mengadaptasinya 100 peratus, sebaliknya disesuaikan dengan beberapa identiti penting ekonomi negara seperti kewujudan dasar afirmatif dan status negara sebagai pemain industri O&G,” terangnya.

Beliau menegaskan bahawa semasa era Najib, pelaksanaan subsidi dibuat dengan cermat, termasuk mengapungkan harga petrol tetapi mengekalkan subsidi pukal bagi mengelakkan kesan drastik terhadap rakyat.

Namun, katanya, di bawah Kerajaan Madani, penghapusan subsidi pukal mula dilaksanakan sepenuhnya, bermula dengan golongan T15 dan mungkin akan melibatkan semua rakyat.

“Jelas sekali, bayangan model ekonomi Najibnomics diikuti oleh kerajaan hari ini. Cuma, tidak seperti hari ini, semasa zaman Najib, perundingan dilakukan dengan semua pihak berkepentingan sebelum sesuatu langkah besar diambil,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024