KANGAR: Peranan Perlis sebagai pengeluar beras negara menyebabkan kerajaan negeri meminta peruntukan khas diberikan untuk menaik taraf sistem pengairan kawasan tanaman padi di negeri ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata sistem pengairan itu bukan sahaja di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), malah kawasan lain di luar MADA.
“Ini penting kerana Perlis merupakan negeri yang menyumbang sebanyak 10.38 peratus pengeluaran beras negara dan secara tidak langsung menyokong Dasar Sekuriti Makanan Negara,” katanya di Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan 2020 di sini, hari ini. Tutut hadir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Sementara itu, Menteri Besar mencadangkan pembinaan sebuah kompleks jualan barangan ikonik tempatan seperti Pasar Payang di Terengganu, Pasar Siti Khadijah di Kelantan dan Pekan Rabu di Kedah.
“Pembinaan kompleks itu akan menjadi daya tarikan baharu Perlis dan secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi rakyat,” katanya.
Mohd Shukri berkata, pembangunan negeri ini di bawah RMK-12 kini memberi fokus kepada kawasan utama seperti Padang Besar, Kangar, Kuala Perlis dan Sanglang, selain projek sokongan yang akan melengkapkan ekosistem kawasan berkenaan.
“Setiap asas pembangunan yang dirancang mengambil kira dasar sedia ada akan memberi manfaat dan impak positif kepada ekonomi negeri serta pendapatan rakyat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa projek berimpak tinggi hampir siap sepenuhnya seperti Fasa 1 Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dengan kilang sulung di situ akan beroperasi pada Januari 2025.
“Perlis Sentral telah siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada akhir tahun ini, manakala Perlis Inland Port sedang giat dilaksanakan dengan infrastruktur luaran dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini dan pengoperasian fasa 1 dijangka pada suku kedua tahun depan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap permohonan bajet menerusi Rolling Plan 1 RMK-13 mendapat perhatian dan pertimbangan Kerajaan Pusat demi memastikan kejayaan pembangunan negeri ini. – HARAKAHDAILY 18/11/2024.