ARAU: Platform digital menjadi alat dalam kempen perhubungan awam untuk menyebarkan mesej mengenai bahaya dadah dan jenayah kepada belia dan pelajar sekolah.
Usaha selama sembilan minggu itu dilakukan oleh sekumpulan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan platform digital yang digunakan, termasuk podcast, Instagram dan TikTok.
Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP, Profesor Madya Dr Nor’Izah Ahmad berkata, tugasan itu merupakan sebahagian daripada kursus Perhubungan Awam dan Media Baharu.
Katanya, setiap kumpulan menghasilkan kempen kreatif bersama agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Elemen pendidikan, promosi, dan kesedaran menjadi fokus utama projek ini. Kempen itu turut memberi tumpuan kepada isu jenayah seksual, kesalahan trafik, dan ancaman dadah yang semakin membimbangkan,” katanya selepas bersama pelajar mengunjungi Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini.
Dr Nor’Izah berkata, kempen ini sangat penting untuk mendidik golongan sasaran dengan pendekatan yang lebih santai tetapi berkesan.
“Selain itu, ia melatih pelajar membina kemahiran komunikasi sebagai persediaan memasuki industri,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024