Rangka inisiatif bantu penggiat seni ukiran kayu

Dato' Rosol Wahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta merangka inisiatif bagi membantu membangunkan seni dan penggiat ukiran kayu yang dilihat semakin tenggelam dalam arus kemajuan kebelakangan ini.

- Advertisement -

Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mencadangkan supaya Kementerian Perladangan dan Komoditi menyediakan dana bagi memartabatkan industri ukiran kayu negara.

“Sekarang ini seni ukiran kayu semakin suram, yang mana yang melibatkan diri dalam ukir kayu ini bumiputera, jadi saya minta kerajaan menyediakan satu dana untuk beri galakan.

“Ini agar pengukir seni kayu kita dapat memberi tumpuan kepada seni ukir kayu sekaligus dapat dicemerlangkan dan diwarisi bagi masa-masa yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Belanjawan 2025 bagi peringkat jawatankuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rosol yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Terengganu turut membangkitkan mengenai industri pengeksportan industri kayu negara yang juga dibuat oleh kaum bumiputera.

Malah beliau juga meminta penjelasan kerajaan mengenai status aktiviti tersebut yang turut dibuat oleh golongan Istana berbanding bumiputera yang membabitkan jumlah yang kecil.

“Sejak dahulu eksport kayu bumiputera cuma mencapai satu peratus sahaja daripada RM20 bilion nilai eksport kayu, jadi kita minta kerajaan fokus hal ini kerana ada yang dikesampingkan.

“Cuma saya nak tanya, adakah penglibatan pihak istana dalam perniagaan ini juga tergolong dalam bumiputera, jadi istana ini dalam kategori bumiputera juga ke,” soalnya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024