Pusat jagaan autisme kurang tenaga terlatih

Dato' Dr. Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) menyatakan berlakunya kekurangan tenaga terlatih di satu pusat jagaan autisme swasta.

- Advertisement -

Beliau berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana akan mewujudkan satu pusat autisme baharu di negeri Terengganu.

“Namun begitu, saya ada melawat satu pusat jagaan autisme swasta dan mendapati berlakunya kekurangan tenaga terlatih yang menyebabkan pengambilan pelajar tersebut terhad.

“Adakah kerajaan bercadang untuk membuka lebih banyak pusat latihan autisme atau membuka banyak kursus di universiti-universiti bagi melatih lebih ramai tenaga pekerja tersebut?” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga mempersoalkan sejauh mana tindakan kerajaan dalam menangani mana-mana pusat asuhan yang melakukan penganiayaan terhadap anak-anak autisme.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri menyatakan tidak semua ibu bapa yang mempunyai anak autisme yang perlu menghantar mereka ke pusat jagaan khas.

“Tetapi yang penting ialah keperluan anak-anak istimewa ini mendapat program-program intervensi untuk membantu perkembangan mereka mengikut jadual dan kekerapan tertentu,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan akan menyemak statistik penderaan kanak-kanak autisme dan selebihnya akan dikemukakan secara bertulis. – HARAKAHDAILY 18/11/2024

- Advertisement -