KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan mewujudkan ruang promosi ar-Rahn di balai menunggu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato’ Sr Zamri Ismail berkata, kemudahan itu akan disediakan Permodalan Kelantan Berhad (PKB) bagi memberi kemudahan kepada pelancong melihat produk ditawarkan agensi tersebut.
Katanya, hubungan erat antara PKB dengan pengurusan LTSIP dan Malaysia Airport Berhad membuka jalan bagi merealisasikan hasrat mempromosikan sistem pajak gadai patuh syariah di negara ini.
“Atas sokongan kedua-dua belah pihak kita menerima kelulusan mewujudkan ruang ar Rahn di airport.
“Anak syarikat PKINK dapat menyerlah kewujudannya ke dunia luar melalui perniagaan ar-Rahn selari dengan pembinaan LTSIP bertaraf antarabangsa,” katanya pada majlis perasmian premis terbabit hari ini.
Hadir sama Pengurus LTSIP, Suhaimi Abdul Sani; Timbalan Ketua Eksekutif PKINK, Ahmad Nazri Ismail dan Pengurus Besar PKB, Hassan Shukri Hussein.
PKB mempelopori sistem pajak Islam pada tahun 1992 bagi membangunkan sistem ekonomi yang berasaskan Islam, selain memberi pilihan kepada penduduk untuk melakukan urus niaga patuh syariah.
Sehingga kini ar-Rahn mempunyai 34 cawangan sendiri serta 67 cawangan francaisi di seluruh negara termasuk Sabah. – HARAKAHDAILY 18/11/2024